Sunday, May 11, 2008

Sejarah Orang Melayu Ke Makkah

TAHUN ini seramai 27,000 jemaah haji dari Malaysia berpeluang menjadi tetamu Allah s.w.t. dan berkesempatan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah al-Mukaramah.

Sesuatu yang amat menarik untuk dikaji dan diteliti ialah siapakah orang Melayu pertama yang telah mengerjakan ibadah agung ini. Memang sukar untuk dipastikan siapakah orang Melayu pertama yang telah berjaya menjejakkan kaki di bumi Mekah dan menunaikan fardu haji.
Namun begitu, menurut catatan sejarah adalah dipercayai orang Melayu telah mula belayar ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji sejak zaman awal Islam dikembangkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Nusantara.

Di dalam buku Haji Di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405H (1896-1985) oleh Mohd. Saleh Haji Awang (1986) dengan merujuk kepada catatan yang dibuat oleh Tom Pires menyatakan bahawa Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) merupakan orang Melayu pertama dalam sejarah yang mengerjakan ibadah haji di Mekah.

Di dalam Hikayat Hang Tuah yang cukup terkenal pula ada menceritakan bahawa laksamana kerajaan Melaka itu pernah menunaikan haji semasa singgah di Mekah ketika beliau dalam perjalanan ke Rom dan sempat menziarahi makam Rasulullah di Madinah dan makam para sahabat di Baqi’ serta Uhud.

Menurut Mohammad Redzuan Othman (2003) catatan yang tepat berkenaan sejarah pemergian haji orang Melayu hanya terdapat pada abad ke-16 seperti pemergian ulama Nusantara Hamzah Fansuri pada akhir abad ke-16 dan Abdul Rauf Singkel pada sekitar tahun 1643 ke Tanah Suci untuk menuntut ilmu dan sempat mengerjakan ibadah haji di sana.

Pada pertengahan abad ke-19 pula lebih banyak penulisan yang melaporkan pemergian orang Melayu ke Mekah seperti karya Tuhfat al-Nafis yang ditulis sekitar tahun 1860-an dan Hikayat Pelayaran Abdullah yang menceritakan pengalaman Munsyi Abdullah menunaikan haji pada tahun 1854.

Pegawai haji yang pertama dilantik oleh kerajaan Inggeris pada tahun 1923 untuk menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah haji Melayu ialah Haji Abdul Majid Zainuddin yang bertanggungjawab ke atas segala hal jemaah haji termasuk masalah kesihatan, keselamatan, perjalanan, dan kebajikan para jemaah haji yang ketika itu menggunakan kapal laut untuk ke Tanah Suci.

Dalam tulisan beliau yang bertajuk A Malay Pilgrimage to Mecca (1926) menceritakan secara mendalam pengalaman menarik beliau mengurus jemaah haji Tanah Melayu selama hampir lebih 20 tahun.

Antara tulisan klasik lain yang menceritakan kisah haji orang Melayu ialah oleh Haji Jaafar Jusoh al-Hajj dalam buku beliau Perihal Pemergian Ke Mekah dan Madinah, iaitu Pelayaran dan Perjalanan Ke Mekah al-Mushrifah Bagi Mengerjakan Haji dan Ke Madinah al-Munawwarah Bagi Ziarah Makam Rasul Allah s.a.w. dan Sahabat-Sahabatnya (1937) dan buku The Conduct of the Hajj From Malaya dan the First Malay Pilgrimage Officer (1975) oleh William R. Roff.

Manakala dalam buku Sejarah Hidup Tok Kenali (1967) turut menceritakan perihal pemergian haji ulama tersohor itu ke Mekah pada tahun 1886 dengan menggunakan kapal layar.

Pemergian haji orang Melayu sebelum merdeka turut dipengaruhi oleh faktor kekukuhan ekonomi, sosial dan keselamatan antarabangsa. Statistik menunjukkan jumlah jemaah haji ke Mekah pada 1927 meningkat pada 12,184 orang ekoran peningkatan harga getah di pasaran dunia melambung tinggi dan penguasaan ekonomi orang Melayu yang lebih baik, pengenalan kapal wap yang lebih cepat serta mengambil masa yang singkat dan jaminan keselamatan pemerintahan Ibn Sa’ud di sana.

Pengangkutan jemaah haji ke Mekah setiap tahun dianggap oleh kerajaan Inggeris sebagai perniagaan yang amat menguntungkan mereka.

Namun begitu pada tahun 1932, jumlah jemaah yang mengerjakan haji merosot teruk kepada hanya lapan puluh orang sahaja akibat kemelesetan ekonomi dunia dan pasaran harga getah yang jatuh merudum.

Pada tahun 1939/40 sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua pula merekodkan kemerosotan paling teruk di mana hanya 46 orang sahaja yang berjaya sampai ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Jemaah haji juga turut berhadapan dengan pelbagai bentuk eksploitasi dan penipuan ketika mengerjakan haji. Menurut Mohammad Ridzuan Othman (2003), akhbar Chahaya Pulau Pinang pada tahun 1906 melaporkan ramai bakal jemaah haji ditipu oleh broker haji ketika berada di pelabuhan Pulau Pinang dan Singapura.

Lebih malang lagi menurut N. Rajendran (1982) dalam tulisan beliau bertajuk Notes On Haji Labour in Early Singapore menukilkan pada akhir abad ke-19, pernah berlaku eksploitasi kepada bakal jemaah haji dari Jawa yang ditipu dan menyebabkan mereka menjadi papa kedana dan terpaksa meminjam wang daripada broker haji.

Untuk melunaskan kembali pinjaman yang dibuat, mereka terpaksa menjadi buruh paksa di ladang-ladang di Johor apabila selesai mengerjakan ibadah haji.

Belanja untuk mengerjakan haji juga amat mahal ketika itu dan ia menjadi simpanan seumur hidup untuk sampai ke Tanah Suci. Bagi yang berada dan berharta pula mereka terpaksa menjual atau menyewa tanah, ladang, sawah dan sebagainya semata-mata untuk menunaikan ibadah agung ini.

1 comment:

Bonny said...

This is really an interesting article about the early history of the Haj amongst the Malays. I am studying more about this and need to know about the sources you have consulted. Would you be able to link up with me. You can email me via my facebook here http://www.facebook.com/profile.php?id=573186632 Thank you kindly