Sunday, May 04, 2008

Sepintas Sejarah Awal Larut Matang

SEJARAH AWAL LARUT MATANG


Larut Matang dan Selama adalah sebuah daerah di dalam Negeri Perak dan ianya mula dikenali semenjak diketahui bahawa buminya mengandungi bijih timah iaitu dalam pertengahan kurun ke 19. Pada zaman Sultan Abdul Malik Mansor Shah iaitu Sultan Perak yang ke 19, satu angkatan dari Kedah telah datang ke Perak atas arahan Raja Siam. Angkatan ini kemudianya telah bertempur dengan angkatan Perang Negeri Perak di sebuah tempat yang bernama Bukit Gantang. Angkatan Perak yang diketuai oleh Cik Alang Idin telah berundur dan bergabung dengan angkatan Talib. Di atas kebijaksanaan Angkatan Perak maka perang tersebut dapat didamaikan. Setelah perdamaian tersebut, Sultan Perak telah berkenan mengurniakan gelaran "Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja" kepada Cik Alang Idin. Mulai dari saat itu Cik Alang Idin ditugaskan mengawal jalan genting ke utara Perak di Bukit Gantang dan memerintah di situ Cik Alang Idin adalah keturunan dari Tun Saban iaitu pemerintah Hulu Perak sebelum Negeri Perak memakai gelaran Sultan.Cik Long Jaafar mempunyai seekor gajah yang bernama Larut dan gajah ini turut dibawa bersama ke Bukit Gantang dari Lubok Merbau. Gajah ini telah hilang hampir 3 hari dan ketika ditemui gajah ini disaluti dengan lumpur yang keras. Akhirnya didapati lumpur itu adalah bijih timah. Di atas peristiwa ini daerah ini dinamai Larut iaitu mengambil sempena nama gajah Cik Long Jaafar. Akhirnya pada tahun 1850, daerah Larut telah dikurniakan kepada Cik Long Jaafar oleh Raja Muda Ngah Ali serta orang Besar-besar Perak iaitu Temeggong, Panglima Bukit Gantang, Panglima Kinta, Syahbandar dan Seri Adika Raja. Pada tahun 1857 Cik Long Jaafar telah digantikan oleh anaknya yang bernama Ngah Ibrahim. Sultan Jaffar Muazzam Shah telah memberi surat akuan kepada Ngah Ibrahim pada 24 Mei 1858. Surat ini telah ditandatangani oleh Sultan Jaffar, Raja Muda Ngah Ali dan Raja Bendahara, Perak. Pada masa Cik Ngah Ibrahim, orang Cina makin bertambah dan pada awal tahun 1860 orang Cina telah menjadi 2 kumpulan besar iaitu Go Kuan (ertinya 5 daerah) dan Si Kuan (ertinya 4 daerah). Orang Cina dalam kumpulan Go Kuan terdiri daripada orang Cina Hakka (Khek) dan Hokkien yang bekerja di lombong Klian Pauh (Taiping) dan mereka menjadi ahli dalam kongsi gelab yang bernama Hai San di bawah ketua bernama Chung Keng Kwee (dikenali juga dengan nama Ah Kwee). Orang Cina yang berasal dari Canton bekerja dilombong Klian Baharu (Kamunting) dan menjadi ahli kongsi gelab yang bernama Ghi Hin di bawah ketua bernama So Ah Chiang.Disebabkan perebutan kekayaan bijih timah maka akhirnya kedua-dua kumpulan tersebut mulai bermusuhan dan tercetuslah PErang Larut I, II dan III.